Halaman

Ahad, 7 Ogos 2011

Pemimpin MELAYU ISLAM Mesti Bersatu Dalam Isu Akidah

Salam Ramadhan.Hari ini dah 7 hari kita menunaikan ibadat puasa. Alhamdulillah pada tahun ini saya dapat menunaikan ibadat ini dengan tenang malah tidaklah rasa terlalu lapar, dahaga maupun berasa penat. Segala-galanya memudahkan . Tetapi perasaan ini sedikit terusik bila membaca kisah ibu-ibu tunggal beragama Islam yang mudah terperdaya dengan pemberian wang oleh pihak gereja si Selangor yang hampir menyeleweng akidah mereka.Perkara yang berlaku ini sgt mengejutkan.Ianya terbongkar apabila pihak JAIS mendapat maklumat dan membuat siasatan dan serbuan.Tindakan JAIS itu rupa-rupanya mengundang kemarahan MB Selangor sendiri, kononnya tindakan JAIS itu tidak wajar dilakukan dan JAIS pula dipersalahkan(kerana ingin menjaga hati pemimpin pembangkang yg lain).

Sepatutnya apa yang berlaku ialah Pemimpin Melayu-Islam bersatu dalam isu akidah, bukannya melatah sehingga menyalahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam isu pemeriksaan ke atas Gereja Methodist Damansara Utama.Dalam serbuan itu seramai 20 org melayu beragama Islam didapati bersama-sama dalam aktiviti keagamaan yang dijalankan di situ.

Saya amat bersetuju dengan pendapat yang dinyatakan oleh Timbalan Ketua Dewan Pemuda Pas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz yang berkata, contoh yang ditunjukkan segelintir pemimpin Melayu dalam isu tersebut adalah tidak betul kerana tegasnya, selaku Muslim adalah wajib memelihara dan mempertahan akidah umat Islam yang lain.

Menurutnya, walau apa sekalipun pendirian politik setiap pemimpin berkenaan, mereka perlu meletakkan kepentingan Islam melebihi segalanya dalam isu berkenaan, kerana tindakan JAIS itu berhubung kait dengan dakwaan berlakunya penyebaran agama Kristian kepada orang Islam.

"Kalau benar dakwaan itu (penyebaran agama Kristian) wujud, kita (Pemuda Pas) memandang berat perkara ini kerana selain menyalahi Perlembagaan Persekutuan, ia membabitkan soal akidah. Jadi wajib ke atas semua Muslim termasuk JAIS untuk menyelamatkan akidah umat Islam.

"Kita kena letak agama di depan. Islam kena melebihi segala kepentingan lain dan adalah tidak betul kalau pemimpin (Islam) tertentu terlalu cepat melatah dalam perkara ini. Sepatutnya kita bersatu dalam soal agama," Kata beliau dalam satu sumber berita hari ini.

Nik Abduh membuat kenyataan tegas itu ketika sebahagian besar pemimpin Pas lain dilihat ragu-ragu untuk mempertahankan tindakan JAIS atau berdiri di belakang Exco Selangor, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali, sebaliknya ada antara mereka secara terbuka mempertikai tindakan jabatan berkenaan.

Meskipun anak kepada Mursyidul Am Pas itu tidak menyatakan secara tepat siapa pemimpin politik yang dimaksudkan, tetapi ia dipercayai merujuk kepada Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dan Timbalan Pesuruhjaya Pas Selangor, Khalid Abdul Samad.

Ini kerana, Menteri Besar Selangor itu kesal dengan tindakan JAIS dan memberitahu, niat serta tujuan baik jabatan itu tidak menghalalkan perbuatan yang gagal mempamerkan keadilan dan kebijaksanaan, manakala Khalid pula ada berkata, "kalau ke gereja pun tak semestinya seseorang tu boleh jadi murtad" dan dia menyalahkan JAIS kerana tindakan tersebut.

Mengulas lanjut, Nik Abduh berkata, walaupun umat Islam merupakan majoriti di negara ini tetapi ia tidak memberi apa-apa kelebihan, jika pemimpin Melayu tidak bersatu dalam hal yang sepatutnya mereka bersatu, terutamanya isu membabitkan agama.

Dalam pada itu, beliau menambah sudah tiba masanya untuk kerajaan memperkasakan undang-undang sedia ada dan Artikel 11 Perlembagaan Persekutuan agar tiada ruang untuk mana-mana pihak mencabar kesucian agama Islam di mahkamah sivil.

"Cara terbaik pinda atau perkasakan undang-undang sedia ada bagi menyelamatkan akidah. Memang Islam dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan tetapi banyak ruang untuk bukan Islam mencabar kesucian agama kita dan dalam beberapa kes mereka menang," katanya.

MORALNYA: Umat Islam di Malaysia MESTI bersatu dan bukannya berpecah belah.Hanya dengan bersatu sahaja, agama Islam akan dihormati. Dan janganlah walaupun sejahil manapun kita ,menjadi tali barut kepada musuh Islam yang bersembunyi tetapi nyata disebalik percaturan dan permainan politik yang merugikan bangsa dan agama.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan