Halaman

Sabtu, 19 Februari 2011

Mendidik Anak :CARA LAMA atau CARA MODEN?

Saya tertarik apabila membaca artikel tulisan saudara Abd Jalil Ali dalam majalah KELUARGA keluaran Mac 2011, tentang bagaimana berkesannya orang-orang dahulu mendidik anak.walaupun orang tua dulu-dulu tidak belajar tinggi-tinggi tapi mereka mampu mendidik anak dengan lebih baik dan sempurna berbanding zaman sekarang.Di mana silapnya ibu bapa hari ini. Apakah rahsia-rahsianya? Berikut saya petik pendapat Saudara Abd jalil Ali untuk renungan kita bersama.

....saya suka berkongsi apa yang emak buat semasa saya kecil dahulu,tetapi tidak lagi diamalkan oleh kebanyakan ibu bapa moden sekarang antaranya:

PERATURAN 1:Tidak ada tolak ansur sekiranya anak-anak nakal.Antara perilaku nakal ialah melompat-lompat di atas katil macam kera,memanjat kerusi atau meja macam monyet, main baling-baling bantal,buat bising ketika orang sembahyang,buku sekolah berselerak di atas meja atau berlari ke hulu ke hilir pada majlis atau kenduri.

Kalau hendak mengikut ke majlis seperti itu,awal-awal emak sudah berpesan:"Di rumah orang nanti,duduk baik-baik,jangan nakal." Abah tidak banyak cakap, tetapi kalau kenakalan itu dilakukan,dialah akan menampar saya.Kena tegur,marah,kemudian kena cubit,tampar dan rotan.Memang kedengaran langsung tiada psikologi.Tetapi itulah cara ibu bapa dulu-dulu mendisiplinkan anak.Kebanyakan ibu bapa moden tidak begitu. Konon,mereka mendidik menggunakan psikologi. Mereka ikut teori keibubapaan orang putih,jangan marah anak,biarkan sahaja mereka buat apa. Beri peluang kanak-kanak berkreativiti.

Selalu saya lihat dalam majlis,termasuk ketika ustaz memberi ceramah di masjid, kanak-kanak bising dan berlari di tengah-tengah majlis,ibu bapa diamkan. Anak menjerit macam tarzan pun tidak ditegur. Apakah menjerit itu satu kreativiti? Sebenarnya itu kurang ajar.

Ketika berkunjung ke rumah saudara,termasuk pada acara kematian, anak-anak dibiarkan memanjat dan melompat kerusi,bergayut di tangga,bermain suis lampu dan ketuk-ketuk barang.Ibu bapa mendiam diri, macam tidak nampak kenakalan anak.

Apabila di restoran,termasuk di hotel lima bintang ,sesetengah ibu bapa buat 'dhek' walaupun anak-anak belari ke hulu ke hilir sehingga mengganggu orang lain. Betul,mereka membayar apa yang dimakan,tetapi perlu ingat orang lainpun bayar juga.

Kita selalu bercakap mengenai merosotnya disiplin murid, dan mudah sahaja menyalahkan guru. Tetapi,di luar sekolah,terutama di rumah, ibu bapa membiarkan saja anak-anak membuat nakal.Berbanding cikgu di sekolah,peranan ibu sebenarnya lebih besar dalam membentuk disiplin anak-anak.Sekiranya di rumah anak-anak dibiarkan memanjat tingkap dan melompat di atas katil,tentu di sekolah anak-anak itu berani memecah cermin tingkap.Sebab itu sudah ada murid berani membakar bilik guru.

PERATURAN KE-2 : Ibu bapa tetap ibu bapa,anak tetap anak.Mesti ada garis
pemisah antara pengasuh dengan orang yang diasuh. Kalau ada tetamu datang,sama ada yang diundang atau tidak diundang,saya diminta masuk ke dalam bilik atau main jauh-jauh di luar.Anak-anak tidak boleh masuk campur dalam perbualan atau perbincangan.Kalau saya mencuri-curi mengintai atau memasang telinga untuk mengetahui isi perbualan atau perbincangan , dan emak tahu perbuatan itu,pasti saya akan kena sebaik sahaja tetamu pergi.Abah akan sebelah emak, dan saya akan kena dua kali cubit.

Tetapi ibu bapa sekarang percaya dengan cara orang putih, bahawa' anak adalah kawan'. Sebab itu batasan kelurga menjadi semakin longgar.Anak boleh turut sama mencelah walaupun dalam hal-hal orang tua.Anak boleh pakai baju emak.Emak boleh sarung baju anak.Alat solek emak adalah juga alat solek anak.Sebab itu sekiranya ada yang tidak dipersetujui,anak sudah berani melawan dan menjerit kepada emak.Samalah seperti mereka menjerit pada kawan-kawan.Bukan tidak boleh bermesra atau bergurau senda,tetapi mesti ada batasan antara gurau dengan kawan-kawan atau gurau dengan eamak dan abah.Betapa mesra dan manja pun,anak kena patuh dengan ibu bapa.

PERATURAN KE-3: Jangan Menyebelahi anak.saya pernah dimarahi abah sebab Tok Ketua mengadu saya conteng gambar kartun di papan kenyataan masjid.Puas saya menjelaskan bukan saya yang menconteng,tetapi dia tetap marah.Sebenarnya yang melukis kartun ialah kaawan saya. Sama juga halnya, satu hari saya didenda berdiri atas bangku dan dirotan tangan sebab tidak buat kerja sekolah.Seorang kawan dari kelas lain memberitahu hal itu kepada emak, dan emak memberitahu pula kepada abah.Saya kena marah:"Kalau aku jadi cikgu,aku denda engkau berbogel dan berjemur tengah panas".

Ibu bapa sekarang terlalu menyebelahi anak-anak. Kalau anak buat salah pun mereka akan mempertahankan anak bahawa anak mereka baik. Kalau ada guru jentik dahi murid sebab tidak hormat pada guru,pasti ibu bapa akan mengamuk di sekolah.Malah ada yang membuat laporan polis hanya kerana anak mereka dirotan oleh guru disiplin sebab tidak mengikut latihan sukan.Ibu bapa terlalu menyebelah anak.Guru takut untuk mendenda murid,sebab itu murid kurang ajar sekarang.

PERATURAN KE-4: Mesti sembahyang.Di luar rumah boleh ponteng.tetapi sepanjang berada di rumah,termasuk ketika cuti sekolah,emak akan pastikan saya sembahyang setiap waktu. Dia akan melaporkan kepada 'bos' kalau saya liat untuk solat.Mula-mula memang saya berasa dipaksa sembahyang.Tetapi lama-kelamaan ia menjadi rutin, dan saya berasa bersalah jika tidak melakukannya, walaupun jauh dari emak
dan abah.

Malang sekali,sesetengah ibu bapa sekarang tidak menegur atau marah sekiranya anak-anak mereka tidak sembahyang.Sebab mereka sendiripun tidak sembahyang.

Begitulah pandangan saudara Abd Jalil Ali tentang cara-cara mendidik anak oleh orang tua kita dahulu dan ternyata ianya cukup berkesan jika nak banding dengan zaman sekarang.

MORALNYA : Tidak salah jika kita mendidik anak-anak kita pada hari ini dengan cara moden tetapi ' pendekatan mendidik orang-orang dahulu' jangan kita ketepikan.