Halaman

Selasa, 24 Mei 2011

KISAH SEDIH YANG MENYAYAT HATI

KISAH PILU 1:

Bila baca berita ini,hati saya sangat tersentuh dan berasa sedih
mengenangkan nasib yang menimpa seorang kanak-kanak comel yang baru berusia 3 tahun.Akibat kelalaian bapanya, anak kecil ini meninggal dunia dalam keadaan yang amat menyayatkan hati.Berikut sedikit sedutan berita tentang kejadian tersebut

TUMPAT - Tindakan tergesa-gesa seorang lelaki yang tidak mahu ketinggalan menghadiri upacara pengebumian sepupunya mengundang padah apabila dia pula kehilangan anak bongsunya yang lemas selepas tertidur bersendirian di dalam kereta kelmarin.

Kejadian pukul 11.45 pagi di Tanah Perkuburan Islam Morak dekat sini itu menyebabkan Nor Izyan Natasya Ishak, 3, menemui ajal selepas dia dibiarkan tidur di tempat duduk belakang kereta jenis Perodua Kancil selama hampir satu jam dalam keadaan kesemua pintu dan tingkapnya tertutup rapat.

Ketika ditemui, keadaan Nor Izyan begitu lemah manakala tubuh serta pakaiannya lencun dibasahi peluh ekoran tindakan bapanya, Ishak Salleh meletakkan kereta itu di bawah panas terik. Jarak antara kereta dan kubur itu kira-kira 500 meter.

Anak bongsu daripada enam beradik itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Klinik Kesihatan Wakaf Bharu dekat sini akibat kekurangan oksigen.

Saya tak dapat bayangkan betapa seksanya anak kecil ini ketika berada dalam keadaan yang amat panas di dalam kereta yang tertutup rapat sebelum meninggal dunia.

MORALNYA: Pengajaran kepada semua orang terutamanya saya sendiri.

KISAH PILU 2:

Saya juga berasa sungguh sedih bila membaca berita kematian 16 anak yatim di rumah anak-anak yatim Madrasah Al Taqwa, Hulu Langat Kelmarin. Pilu kerana anak-anak itu masih kecil lagi dan telah menjadi korban dalam kejadian tersebut. Sayu rasanya bila menatap gambar salah seorang kanak-kanak yang sebahagian badan telah ditimbus tanah dan telah meninggal dunia. Di sini saya paparkan sedutan cerita tentang kejadian sedih itu yang diceritakan sendiri oleh orang yang menyaksikannya.

KAJANG: "Sampai hari ini, saya tidak boleh melelapkan mata kerana tergiang-giang mendengar jeritan mangsa meminta tolong dan bayangan keadaan kanak-kanak yang tertimbus,"kata Abdur Rahman Mohd Lazim,43, penduduk yang paling awal sampai ke tempat kejadian tanah runtuh.

"Setiap kali memejamkan mata untuk tidur terutamanya pada waktu malam, hati saya sayu dan air mata mengalir memikirkan keadaan mangsa yang saya lihat ketika kejadian itu.

"Antara yang tidak dapat saya lupa apabila sampai di tempat kejadian ialah keadaan enam mangsa yang hampir keseluruhan badan tertimbus dan seorang dihempap ketika itu masih hidup sambil meminta pertolongan dan melambai-lambai tangan ke arah saya," katanya menahan sebak mengenangkan peristiwa yang menyayatkan hati itu.

Kita sedekahkan al Fatihah untuk anak-anak kecil yang malang ini.

MORAL: Kematian boleh berlaku kepada sesiapa saja dan bila-bila masa saja.